Kes Buang Janin: Isteri Keguguran Selepas Diurut


SEPASANG suami isteri diberkas polis berhubung kes buang janin di hadapan kedai, Jalan Apas, Batu 3, Tawau, berhampiran premis tempat janin ditemui, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek lelaki berusia 76 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya 32 tahun ditahan kira-kira 5.30 petang kelmarin.

“Hasil siasatan awal, suspek wanita mengadu sakit perut dan suspek lelaki bertindak cuba mengurut perut isterinya bagaimanapun dipercayai keguguran selepas diurut.

 "Suspek mengambil janin itu lalu menyimpan di dalam plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah berhampiran," katanya ketika dihubungi, semalam.

Fadil berkata, hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati seorang rakan kerja suspek yang juga pengawal keselamatan tidak mengetahui isi kandungan plastik yang dibuangnya.

“Hasil siasatan lanjut mendapati rakan suspek hanya terserempak dengan suspek lelaki ketika melakukan rondaan seperti yang direkodkan dalam CCTV di tempat kejadian.

“Suspek juga tidak menghantar isterinya ke mana-mana klinik atau hospital selepas keguguran memandangkan tidak ada dokumen pengenalan diri dan kesempitan wang,” katanya.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Semalam, Harian Metro melaporkan janin perempuan berusia 22 minggu ditemui orang awam di dalam tong sampah berhampiran bengkel kereta di Jalan Apas, Batu 3, di sini.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com