Kerajaan Negeri Umum Sumbangan RM2.28 Juta Untuk Jemaah Haji Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah buat julung-julung kalinya berbesar hati mengumumkan pemberian sumbangan kepada 4,564 orang jemaah haji berdaftar di Kedah yang akan berangkat ke tanah suci Makkah bermula 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sumbangan tersebut akan diberikan ketika jemaah haji berangkat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, atau dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

"Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi sedikit sumbangan 'one off' kepada 4,564 orang jemaah haji yang berdaftar dengan Tabung Haji di negeri Kedah yang akan berangkat ke Makkah pada tahun ini.

"Sumbangan tersebut berbentuk wang tunai sebanyak RM500 bagi setiap jemaah. Secara keseluruhan jumlahnya adalah sebanyak RM2,282,000," katanya kepada Kedahnews.com, sejurus selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ahmad Bashah menjelaskan bahawa sumbangan tersebut juga akan diberikan kepada 275 orang jemaah haji dari negeri Perlis yang akan menyertai bersama 2,785 jemaah haji Kedah yang akan berangkat dari LTSAH.

"Yang dijadualkan akan berangkat melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) adalah seramai 2,785 orang jemaah haji Kedah, termasuk 275 jemaah dari negeri Perlis," katanya.

Selain sumbangan wang tunai sebanyak RM500 itu, sumbangan lain berupa beg, kain pelikat, telekung dan sebagainya, yang diberikan kepada jemaah haji setiap tahun juga akan diteruskan seperti biasa.

"Pemberian ini adalah ingatan ikhlas dari Kerajaan Negeri, cuma kita memohon agar semua jemaah haji dari negeri Kedah supaya mendoakan kesejahteraan negeri Kedah, rakyat dan Kerajaan Negeri.

"Kita doakan agar para jemaah haji akan dapat beribadah dengan sempurna dan mabrur. Patuhilah disiplin sebagaimana yang disusun oleh Tabung Haji dari sudut keselamatan, keselesaan dan sebagainya," ujar beliau.

Penerbangan jemaah haji dari LTSAH terus ke Jeddah akan bermula pada 12 Ogos ini dan segala urusan imigresen dan kastam akan dilaksanakan di sini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com