Kerajaan Komited Lahir Lebih Ramai Huffaz Berkemahiran Dalam Pelbagai Bidang


KUALA KUBU BAHARU - Kerajaan komited melahirkan lebih ramai Huffaz (golongan penghafaz al-Quran) dan membentuk mereka menjadi pemimpin dan anggota tenaga kerja profesional negara pada masa hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Huffaz harus mempunyai kemahiran profesional dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain bagi memastikan sasaran melahirkan 25,000 Huffaz seluruh negara menjelang tahun 2050 melalui dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai.

"Saya merasa optimis sasaran itu akan direalisasikan kerana lulusan daripada Darul Quran, sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran yang terletak di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyambung pengajian mereka dalam pelbagai bidang selain bidang agama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada seidang media selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM ke-26 yang diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran JAKIM, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha.

Asyraf berkata Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dijadual akan dilaksanakan tahun ini akan memastikan golongan Huffaz mempunyai kemahiran profesional setelah menamat pengajian mereka di IPTA atau IPTS sekali gus melahirkan sebuah generasi yang menyumbang kepada negara.

Sementara itu, beliau kagum dengan kecekalan seorang lepasan Darul Quran yang juga penghidap autisme, Ahmad Zahiruddin Zailani, 21, kerana telah mencatatkan sejarah kerana memenangi Anugerah Khas Kategori Autisme, yang pertama kali diperkenalkan Darul Quran.

"Ahmad Zahiruddin yang mengikuti program Diploma Tahfiz Al-Quran telah membuktikan bahawa orang kelainan upaya (OKU) juga boleh berjaya menjadi penghafaz al-Quran, kejayaan ini harus memberi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU bahawa golongan OKU juga boleh berjaya menghafaz al-Quran," katanya.

Asyraf berkata Darul Quran akan memastikan golongan penghidap autisme dan OKU berjaya menamatkan pengajian mereka menerusi tenaga pengajar yang berpengalaman dan kemudahan lengkap.

Sejumlah 615 pelajar menerima sijil, diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM itu dengan menyaksikan seramai 436 pelajar menamatkan pengajian dalam Diploma Tahfiz Al-Quran, 86 pelajar (Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-Universiti Islam Antarbangsa Malaysia), 36 pelajar (Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-Universiti Tenaga Nasional), 34 pelajar (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Quran dan Sunnah Darul-Quran dan Universiti Sains Islam Malaysia).

Manakala tiga pelajar (Pensijilan Tahfiz Al-Quran Orang Kelainan Upaya Penglihatan) dan 20 pelajar yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang pengurusan masjid. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com