Kerajaan DAP Pulau Pinang Perlu Bertanggungjawab


PULAU PINANG - Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu bertanggungjawab sekiranya mereka melanggar 10 perkara tambahan diperkenalkan sendiri dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani kelmarin.

Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, jika salah satu daripada ikrar berkenaan dikhianati, ia akan memberi persepsi buruk kepada kerajaan negeri.

Katanya, pelbagai pihak termasuk lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini telah bersetuju bekerjasama dengan SPRM bagi memantau kes penyalahgunaan kuasa dan ra­suah di negeri ini.

“Mereka (kerajaan negeri), kena bertanggungjawab terhadap ikrar tambahan berkenaan kerana rakyat mahu melihat apa yang dijanjikan perlu dilaksanakan, orang Pulau Pinang pilih kerajaan yang diyakini untuk berkhidmat dengan baik dan bukan terpalit dengan isu rasuah.

“Ingatan ini bukan hanya untuk Pulau Pinang malah kepada semua negeri, kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah menandata­ngani IBR perlu patuhi kerana kita mahu lihat budaya ra­suah ini dibasmi secara habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani IBR membabitkan 100 wakil daripada 300 NGO di negeri ini yang turut dihadiri Presiden Pemerhati Ra­suah Malaysia, Jais Abdul Karim di Universiti Sains Malaysia (USM) malam kelmarin.

Selepas sekian lama berdolak-dalik, akhirnya Kerajaan DAP Pulau Pinang menerima IBR semalam dan bertindak mema­sukkan tambahan 10 langkah integriti sebagai tanda komitmen dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa berbanding lima yang diperkenalkan SPRM.

Mengulas berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya, Dzulkifli memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi.

Ujar beliau, ketika ini dakwaan berkenaan disifatkan sebagai cerita yang tidak mempunyai asas kukuh dan SPRM tidak boleh melakukan siasatan sekiranya tiada laporan berhubung perkara itu.

Sementara itu, beliau me­negaskan, SPRM masih meneruskan siasatan kes pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) kerana masih terdapat beberapa individu yang sedang dijejaki.

“Mungkin ada (individu yang akan ditahan) kerana proses siasatan masih berlangsung. Kami (SPRM) ketika ini bertungkus lumus untuk selesaikan siasatan kes ini,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com