Kena Balun Dalam Kafe Siber Kerana Marah Teman Wanita Diganggu


PELAJAR kolej swasta cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah kafe siber di Setiawangsa, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Mangsa, Raja Hazwan Azri Raja Zaen, 21, cedera di jari kiri, lebam di badan dan menerima tujuh jahitan di kepala akibat dibelasah lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia bersama teman wanitanya diganggu salah seorang suspek ketika berjalan keluar dari sebuah klinik di Setiawangsa, di sini, untuk ke kereta, kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, dia kemudian menegur tindakan salah seorang daripada kumpulan lelaki itu yang menggangu teman wanitanya hingga menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum meninggalkan lokasi kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

"Lelaki itu kemudian menghubungi saya dengan menghantar mesej ke akaun Facebook dan memaklumkan mahu berjumpa sebelum kami sepakat untuk berjumpa di sebuah pusat siber di Setiawangsa, di sini.

"Selepas menghantar teman wanita pulang ke rumahnya, saya menunggu lelaki itu di lokasi yang dijanjikan. Saya terkejut apabila melihat lelaki terbabit muncul bersama rakannya yang membawa senjata termasuk kayu dan objek menyerupai pistol," katanya.

Raja Hazwan Azri berkata, dia kemudian berlari memasuki kafe siber terbabit sebelum dibelasah lima lelaki menggunakan kayu, pemadam api dan belakang objek menyerupai pistol.

"Orang ramai yang berada di dalam pusat siber terbabit tidak dapat membantu saya kerana diugut akan dicederakan.

"Mereka kemudian menarik saya masuk ke dalam kereta Suzuki Swift sebelum terus membelasah saya sebelum ditinggalkan di depan sebuah bank berhampiran pusat siber berkenaan.

"Saya terpaksa berjalan kaki dalam keadaan berlumuran darah sejauh 200 meter untuk ke kafe siber itu bagi mendapatkan bantuan," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, di sini, semalam.

Insiden itu tular di Facebook selepas abang mangsa, Raja Ezzat Ezmir Raja Zaen, memuat naik status di akaunnya berhubung kejadian itu, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat siber berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat berhubung insiden itu dan usaha mengesan kelima-lima suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com