Kedah Bakal Sedia Perkhidmatan Bas Rapid Untuk Rakyat


ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain mendedahkan bahawa kerajaan negeri Kedah kini dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan bas Rapid.

Penyediaan perkhidmatan bas Rapid tersebut dikatakan sebagai satu alternatif baru terutama sekali untuk  pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar mereka sampai ke destinasi yang ingin dituju.

"Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan komuter terutamanya penjawat awam yang berulang alik dari Pulau Pinang dan Perlis ke Alor Setar, tetapi apa yang menjadi masalah ialah apabila hendak ke destinasi mereka dari stesen komuter.

"Jadi kita sedang berusaha untuk memasukkan perkhidmatan bas Rapid ke Kedah. Contohnya pengguna boleh menaiki bas yang disediakan di Stesen Alor Setar untuk terus ke UiTM Merbok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jom Naik Komuter di Alor Setar, semalam.

Sekain itu, beliau turut memohon agar pihak KTMB untuk memperbanyakkan  jumlah koc komuter kerana jumlah sedia ada iaitu tiga koc tidak mencukupi terutama ketika hari kemuncak dari Khamis hingga Ahad.

"Koc sedia ada tidak cukup jadi kita harap pihak KTMB dapat menambah jumlah koc bagi menampung jumlah pengguna KTM komuter di Kedah," katanya.

Sementara itu, Tajul sempat menaiki komuter dari Stesen Sungai Petani ke Stesen Alor Setar sebagai antara usaha menggalakkan rakyat Kedah menggunakan perkhidmatan komuter.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com