Kanak-Kanak Lelaki Disengat Lebih 60 Tebuan Ketika Bermain Meninggal Dunia

 

KANAK-kanak lelaki meninggal dunia, semalam ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu selepas disengat tebuan ketika bermain di halaman rumahnya di Kampung Benting Lintang, Jertih, Rabu.

Mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi semalam.

Bapa mangsa, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu sedang bermain kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurutnya, sebelum itu anaknya dikatakan bermain badminton berdekatan kawasan itu dan kemudian bermain dengan rakannya di dalam semak berhampiran.

"Kemudiannya dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di atas pokok di kawasan itu dan anak saya paling banyak kena sengat di seluruh badan.

"Berdasarkan kesan pada tubuhnya dipercayai dia disengat lebih 60 tebuan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, Muhammad Adrian kemudiannya dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan motosikal pada 6.45 petang.

Mohd Rosmin berkata, keadaannya ketika itu sudah lemah tetapi masih boleh bercakap dan menyebabkan dia bersama isterinya, Nor Azah Hamid, 27, terus mengejarkannya ke Hospital Besut dengan kereta.

Kata pemandu lori itu, anaknya boleh bercakap sehingga pihak hospital memasukkan tiub ke mulutnya pada 9 malam untuk memastikan dia tidur dan berehat.

"Memandangkan keadaannya yang agak teruk menyebabkan Muhammad Adrian kemudiannya dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Selepas dirawat di hospital itu keadaannya didapati stabil, bagaimanapun bermula 9 pagi tadi anak saya jadi kritikal kerana buang pinggangnya tidak berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian," katanya.

Jenazah Muhammad Adrian selamat dikebumikan di Kampung Benting Lintang, petang semalam

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com