'Kami Tak Sentuh Bangunan, Rumah Ibadat, Penjaja Haram Sebelum 2008' - DAP


GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 di negeri itu, kecuali ia mengganggu orang awam dan aliran trafik.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menegaskan perkara itu berkata, ia merupakan dasar kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP selepas parti itu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008.

"Kami buat keputusan bahawa sebaik kami jadi (kerajaan), semua bangunan haram atau penjaja haram tidak akan disentuh, kecuali ia mengganggu orang awam dan aliran trafik, sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

"Kita tidak mengehadkan tempoh masa untuk penyelesaian yang baik di antara semua pihak," katanya kepada media selepas hadir bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri menyatakan solidariti kepada anggota Exco kerajaan negeri Phee Boon Poh di Perkarangan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram selepas tahun 2008, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan.

Terdahulu, beliau mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan Phee pada Jumaat, bagi membantu siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Ini kerana, menurut Lim, Phee hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri.

Beliau bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri percaya Phee tidak menerima sebarang suapan kerana beliau hanya menjalankan tugas sebagai anggota exco, selain tidak mempunyai kepentingan peribadi malah hubungan keluarga dengan kilang tersebut.

"Dalam kes ini, saya belum dapat maklumat terperinci, tetapi, yang saya tahu, kilang itu berada dalam tanah dia sendiri, bukan di atas tanah kerajaan tetapi tidak dapat kelulusan untuk operasi kilang.

"Kerana, ia dibina sebelum 2008, dan ini diuruskan oleh Phee yang menjalankan dasar kerajaan negeri," kata Lim sambil menambah beliau yakin Phee tidak mengambil rasuah kerana anggota exco itu seorang yang berada.

"Malah, dalam kalangan exco, dia adalah exco yang paling kaya," tambah Lim.

Exco kanan kerajaan negeri pimpinan DAP itu, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang pada Jumaat.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguamnya R.S.N Rayer pada pukul 2.30 petang selepas pejabatnya di Tingkat 53, bangunan Komtar dikunjungi lima pegawai SPRM pada pukul 11.30 pagi

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com