Jurujual Dakwa Dipukul Akibat Persaingan Perniagaan


KUANTAN - Seorang jurujual sebuah syarikat makanan sejuk beku, di sini, kesal dengan tindakan individu yang bertindak memukulnya awal pagi, semalam tanpa usul periksa tanpa sebarang perbincangan dilakukan.

Cheong Kam Loy, 42, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan mensyaki kejadian ada kaitan dengan persaingan perniagaan yang sudah dijalankan syarikatnya sejak 11 tahun lalu.

Katanya, individu berkenaan memukul bahagian hidung dua kali sehingga dia hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam longkang dan mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian, lebih kurang jam 12 tengah malam tadi (semalam) saya keluar daripada sebuah pusat hiburan di Jalan Beserah untuk menjawab telefon dan ketika itulah saya dipukul.

“Tumbukannya sangat kuat hinggakan saya boleh terjatuh ke dalam longkang dan cedera di bahagian hidung, siku kiri dan kaki kanan,” katanya semasa  sidang media di Pusat Khidmat Komuniti Dun Teruntum, di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, dalam tempoh lapan tahun bekerja, kejadian ditumbuk ini merupakan pertama kali berlaku kepadanya.

“Laporan polis dan pemeriksaan kesihatan sudah dilakukan, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chong Siong berkata, pihaknya berharap agar pihak polis menyiasat perkara tersebut tanpa prejudis.

“Tidak kira siapa pun mangsa pihak polis perlu menjalankan siasatan terperinci, bimbang keadaan keselamatan dan pekerjaan mangsa terganggu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com