Jokowi Kata Indonesia Bakal Jadi Juara Sukan SEA #KL2017


JAKARTA – Presiden Joko Widodo mahu atlet Indonesia membuktikan kesungguhan untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang bermula pada 19 Ogos ini.

Media-media tempatan semalam memetik Presiden Republik Indonesia itu sebagai berkata, atlet negara itu harus berusaha mengembalikan kecemerlangan kerana Indonesia pernah sepuluh kali menjadi juara keseluruhan temasya sukan itu.

"Ingatlah bahwa di sana saudara-saudara mewakili Indonesia, negara yang sudah 10 kali menjadi juara umum di SEA Games. Ini perlu diingatkan.

"Saya ucapkan selamat berjuang mengharumkan nama Indonesia, mengharumkan nama bangsa.

"Dari tanah air, saya akan menanti lagu Indonesia Raya berkumandang di SEA Games ke-29 dan bendera merah-putih berkibar mewakili kebanggaan bangsa Indonesia,” katanya pada majlis pelepasan atlet Indonesia ke Kuala Lumpur di Istana Presiden, di sini.

Katanya Sukan  SEA Kuala Lumpur tahun ini dianggap penting kerana ia sebagai pemangkin kepada Sukan Asia yang akan belangsung di Jakarta pada 2018.

Indonesia menghantar 533 atletnya untuk berentap dalam 37 acara sukan yang dipertandingkan.

Kerajaan Indonesia juga mengumumkan pemenang pingat emas Sukan SEA itu tidak akan menerima bonus wang tunai tetapi akan diberikan hadiah istimewa yang lebih bermanfaat untuk masa depan mereka. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com