Jentera UMNO Dalam 'Gear Tiga", Sedia Hadapi Serangan Pelbagai Penjuru - Shahidan


ALOR SETAR -Jentera UMNO kini berada pada tahap 'gear tiga' dalam persiapannya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke -14 dan sudah bersedia menghadapi 'serangan musuh' daripada pelbagi penjuru. 

"Bila kita berperang, tiga syarat penting ialah mesti ada ketua, mesti berani dan mengetepikan urusan peribadi, termasuklah tindakan keluar parti kerana merajuk, sebab kita perlu bergerak maju ke depan," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim 

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mahu semua ahli UMNO dan anggota komponen Barisan Nasional memberi fokus dan sentiasa bersedia bagi menghadapi serangan pelbagai pihak terutama daripada parti pakatan pembangkang. 

"Kita bakal berdepan 'tentera' yang besar... di hadapan, mereka datang dari kiri dan kanan  untuk ganggu kita dan kita mungkin terganggu dengan satu atau dua sentuhan tetapi itu tidak boleh merosakkan peperangan yang besar di hadapan," kata Shahidan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Dewan Sri Zaleha, di Gurun, dekat sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO  Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, Shahidan berkata pembangkang tidak mampu untuk memenangi banyak kerusi pada pilihan raya ini kecuali memecah belahkan ahli UMNO.

" Jika menang sekalipun,  kita tidak tahu siapa sebenarnya ketua Pakatan Harapan dan bakal perdana menteri, " katanya lagi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya ada satu kerusi sekarang, berbanding 36 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan di segi logiknya pemimpin PPBM tidak boleh menjadi ketua, kata Shahidan lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO dan BN perlu perlu memenangi PRU14 kerana hanya parti itu sahaja yang mampu mewakili rakyat negara ini, seterusnya berkongsi kuasa dengan parti komponen untuk mentadbir negara. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com