Jemaah Haji Pertama Kedah Terima Sumbangan RM500, Berangkat Ke Makkah


ALOR SETAR - Kumpulan jemaah haji pertama dari negeri Kedah dan Perlis telah berangkat ke tanah suci Makkah dari balai pelepasan Lapangan Terbang (LTSAH) Sultan Abdul Halim, awal pagi tadi.

Seramai 287 jemaah haji berkenaan sebelum itu diraikan Kerajaan BN Negeri Kedah yang diwakili oleh Exco Agama Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Rawi Abd Hamid dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Dalam majlis pelepasan semalam, Mohd Rawi dan Shaiful Hazizy turut berbesar hati menyalurkan sumbangan RM500 dan barangan lain, dari Kerajaan Negeri Kedah kepada setiap jemaah haji tersebut.

Jemaah haji yang menerima sumbangan tersebut meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap umat Islam di negeri ini yang bakal menunaikan rukun Islam kelima itu.


Jadual penerbangan adalah tiga kali penerbangan setiap hari iaitu pada jam 1 pagi, 3 pagi dan 5 pagi bermula hari ini, 12 Ogos sehingga 17 Ogos ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini mengumumkan sumbangan RM500 dari Kerajaan Negeri kepada 4,564 jemaah haji dari Kedah pada musim ini yang keseluruhannya berjumlah RM2.282 juta.

Jelas beliau, wang saku berkenaan akan diberi kepada setiap jemaah yang berlepas dari pintu LTSAH yang terus ke Jeddah, manakala bagi jemaah haji Kedah yang berangkat melalui lapangan terbang lain atau sudah berlepas ke Makkah, wang berkenaan akan disalurkan ke akaun Tabung Haji masing-masing.


Pemberian sumbangan tersebut adalah pertama kali diumumkan berbanding sebelum ini yang melibatkan penyampaian sumbangan barangan keperluan haji seperti beg, telekung, kain pelikat dan sebagainya.

Turut hadir bersama di majlis berkenaan adalah Exco Agama Kerajaan Negeri Perlis, Yang Berhormat, Khairi Hasan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com