Jangan Bayar Kepada Ulat Parkir


JOHOR BAHRU – “Jangan beri wang kepada ulat parkir sebaliknya buat aduan polis jika diugut,” tegas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, A Rahim Nin.

Ketegasan itu disuarakan A Rahim kepada pengguna yang meletakkan kenderaan dalam kawasan pusat bandar yang dikenakan caj atau bayaran oleh individu bertindak sebagai ulat parkir.

Katanya, MBJB melaksanakan tujuh operasi bersepadu sejak Februari lalu melibatkan tiga agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

“Terkini operasi bersepadu ulat parkir sekali lagi dilaksanakan sekitar kawasan pusat bandaraya terutama di Jalan Ibrahim, Jalan Dhoby, Jalan Trus dan Jalan Tan Hiok Nee.

“Seramai 16 individu ditangkap PDRM dan kami mendapati sebahagian besar dalam kalangan mereka mempunyai rekod ditangkap beberapa kali yang menunjukkan mereka tidak serik dan takut untuk ditangkap,” katanya.

Beliau berharap dengan usaha bersepadu dan kerjasama orang awam ini dapat membanteras masalah ulat parkir.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Penguatkuasaan MBJB menjalankan tindakan tunda dan kompaun di Jalan Jim Quee, Jalan Ibrahim Sultan dan Jalan Stulang Laut termasuk sitaan.

Katanya, di kawasan Jalan Ibrahim, Jalan Dato’ Onn, Jalan Terus, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Bukit Timbalan, Jalan Dhoby, Jalan Ibrahim Sultan, Jalan Jim Quee, Jalan Gereja, Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Abdul Rahman Andak, Jalan Stulang Laut, Jalan Salleh Kim Teng Park dan Jalan Ayer Molek merupakan kawasan larangan parkir.

“Bagi mana-mana kenderaan didapati tidak patuh undang-undang kecil mencegah kekotoran (pindaan 2004) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) maka mereka akan dikenakan tindakan penguatkuasaan tunda.

“Sebanyak 417 kenderaan dikenakan tindakan tunda sepanjang Julai lalu dan lebih 1,390 kompaun dikeluarkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com