Jaguh Karate-Do Kembali Demi Negara Selepas Empat Tahun Bersara


“Saya kembali demi negara,”

Demikian tegas jaguh karate-do negara Shaharudin Jamaludin yang dipanggil kembali menyertai skuad kebangsaan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas empat tahun bersara.

Jelas atlet berusia 29 tahun itu, tidak mungkin untuknya kembali semula jika tidak kerana mahu membantu Malaysia meraih pingat emas pada temasya yang berlangsung di tanah air sendiri.

“Apabila dipanggil semula untuk menyertai skuad kebangsaan, saya rasa cukup teruja dan dihargai.

“Walaupun sudah lama tidak beraksi, saya masih mempunyai tahap kecergasan yang sama seperti atlet lain.

“Sukan SEA kali ini cukup berbeza untuk saya kerana ia berlangsung di tempat sendiri dan saya benar-benar mahu membantu pasukan memenangi pingat emas,” katanya.

Berbeza berbanding penyertaannya pada temasya dwi tahunan itu sebelum ini, Shaharudin berkata dia hanya akan menyertai acara berpasukan pada saingan kali ini.

“Malaysia tidak pernah memenangi acara berpasukan lelaki selama 26 tahun.

“Harap kali ini kami mampu memenanginya kerana pada beberapa final sebelum ini kami hanya tewas tipis pada aksi final.

“Saya percaya rakan sepasukan lain terutama barisan pemain muda mampu menggalas tugas ini,” katanya.

Shaharudin pernah memenangi pingat emas menerusi acara kumite kategori 67 kilogram pada Sukan SEA 2011 di Jakarta.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com