Isu Kilang Haram: PKR Pertahan Pendirian Pulau Pinang


PETALING JAYA - PKR Pulau Pinang mengambil pendirian menjauhi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Dr Norlela Ariffin yang menghargai tindakan kerajaan pusat berhubung isu kilang haram yang membawa kepada penahanan exco kerajaan negeri Phee Boon Poh kelmarin.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman dipetik Malaysiakini berkata, parti itu tidak akan menghukum Norlela atas tindakannya, termasuk komen di media berikutan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kilang terbabit dan Boon Poh.

Beliau yang juga ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, apa yang dibangkitkan oleh Norlela mengenai perkara itu dilakukan dalam kapasitinya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata Norlela mempunyai hak untuk menjalankan tugasnya bertindak demi kepentingan penduduk di kawasannya.

“Kami (juga) menekankan parti (kami) di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada kerajaan negeri,” kata bekas timbalan ketua menteri itu.

“Kami sedih dengan apa yang telah berlaku ke atas Boon Poh dan melihat tindakan oleh SPRM sebagai penganiayaan terpilih terhadap pembangkang,” tambah beliau.

Semalam, Norlela berkata beliau gembira kerana tindakan akhirnya diambil terhadap kilang pemprosesan penapis karbon haram walaupun beliau menimbulkan isu itu semasa sidang Dewan Undangan Negeri lebih 2 tahun lalu.

Norlela dari PKR berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kebimbangan penduduk tentang kilang haram itu, yang terletak di Kg Sungai Lembu, Bukit Mertajam pada Februari 2015.

“Saya membangkitkan perkara itu di Dewan Undangan Negeri tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa selama 2 tahun,” katanya.

Norlela dan beberapa wakil lain bertindak kritikal terhadap kepimpinan negeri kerana tidak menjalankan tugas dengan baik dan tidak mengambil berat terhadap alam sekitar.

Phee Boon Poh direman 5 hari bermula semalam bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Turut direman ialah 2 beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com