Ibu Bapa Rakam Terima Kasih, Anak Harum Nama Kedah


Kulim - “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pengetua dan guru serta rakan anak saya yang banyak memberi bimbingan serta sokongan kepadanya.”

Begitu kata R Ramakrishnan, 50, mengenai kejayaan R Prevena, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah (SMKSB), di sini, yang memenangi anugerah Pembentang Terbaik dan Best Position Paper pada persidangan International Model United Nation 2017 membabitkan 96 delegasi di Amerika Syarikat, Jumaat lalu.

Pada pertandingan anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu, Prevena memenanginya melalui pembentangan dua topik mengenai isu semasa iaitu sekatan senjata kimia dan kesan perubahan iklim terhadap tanaman.

Ramakrishnan berkata, dia dan isteri, S Jaya Devi, 44, berterima kasih kepada guru SMKSB serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Talen Development Society yang banyak membantu Prevena.

“Ketika Prevena serta isteri ke Amerika Syarikat untuk menyertai pertandingan itu, saya tidak terlalu memberi harapan kepadanya untuk menang atau membawa pulang sebarang hadiah kerana penyertaannya adalah yang pertama dan peserta dari negara lain sememangnya mendapat pendedahan awal mengenai bidang inovasi ini.

“Saya berharap dia mendapat pendedahan mengenai budaya dari negara peserta lain yang datang dari seluruh dunia selain mendapat pengalaman baru serta dapat berkenalan dengan rakan dari negara lain,” katanya pada sidang media di SMKSB, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengetua sekolah, Yazi Yusuf.

Ramakrishnan bagaimanapun bangga apabila menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan anaknya muncul sebagai pemenang dalam pertandingan itu.

Sementara itu, S Jaya Devi yang juga seorang suri rumah berkata, ketika menyertai pertandingan itu dia lihat peserta lain semuanya hebat kerana pelajar negara mereka lebih awal mendapat pendedahan dalam bidang sains dan teknologi.

“Ketika berada di sana saya banyak beri nasihat kepada Prevena supaya tidak gementar dan lakukan dengan baik, malah ada ketika saya tidak masuk ke dalam dewan ketika Prevena berucap kerana takut akan mengganggunya.

“Namun, saya terkejut apabila dia diumumkan sebagai pemenang terutama Pembentang Terbaik kerana anak ketiga saya itu bukan seorang yang suka bercakap terutama berucap di khalayak ramai, bagaimanapun saya amat bangga apabila dia dapat melakukannya,” katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com