Hospital Pantai Sungai Petani Perkenal Khidmat Jagaan Kejururawatan Di Rumah Pesakit


ALOR SETAR - Perkhidmatan Jagaan Kejururawatan di rumah pesakit yang diperkenalkan oleh Hospital Pantai  Sungai Petani  bulan lepas mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, pusat perubatan swasta itu akan memperkemaskan lagi perkhidmatan di luar hospital itu termasuk menyediakan kenderaan dan jururawat berpengalaman bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan awal tanpa perlu ke hospital.

Ketua Pegawai Operasinya, Tio Bee Chan berkata, pihaknya menyediakan dua kenderaan bagi memudahkan jururawat di hospital berkenaan untuk memberi rawatan awal sebaik sahaja menerima panggilan.

“Sejak perkhidmatan ini di­perkenalkan pada bulan lepas, ramai penduduk setempat terutama berusia antara 56 hingga 74 tahun yang mengalami penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan lumpuh telah menggunakan kemudahan yang kami sediakan, " katanya .

Menurut beliau lagi perkhidmatan jagaan di rumah ini dilakukan jururawat yang berpengalaman dan sekiranya pesakit  menghadapi masalah kesihatan serius, mereka dihantar ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Pelancaran Per­khidmatan Jagaan Kejururawatan di Rumah oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan  Alam Sekitar Datuk Dr. Leong Yong Kong di sini semalam.

Sementara itu, Yong Kong berkata, kemudahan yang dilaksanakan Hospital Pantai Sungai Petani itu dilihat mampu membantu mening­katkan tahap kesihatan penduduk di daerah tersebut.

“Kesihatan penduduk terutama mereka yang tinggal di kampung akan bertambah baik apabila program berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.


Namun begitu terdapat banyak lagi  ruang untuk memperbaiki mutu kesihatan penduduk dan pentadbiran hospital swasta perlu sama-sama memainkan peranan ke arah itu dalam menjayakannya," katanya.

Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan Jagaan Kejururawatan di Rumah boleh menghubungi  Hospital Pantai Sungai Petani di talian 04-4428888 atau 012-6668433. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com