Hospital Muar Dinaiki Air Petang Semalam


MUAR - Susulan hujan lebat yang melanda daerah ini sejak awal tengah hari semalam, beberapa kawasan tumpuan di sekitar bandar di sini, terjejas ekoran dinaiki air.

Fenomena itu turut membabitkan tempat tumpuan orang ramai iaitu Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, apabila beberapa kawasan di situ juga dilimpahi air.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, antara kawasan  terjejas adalah di sekitar tempat letak kenderaan awam serta sebuah laluan utama menuju ke koridor hospital.

Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kejadian banjir itu adalah pertama kali berlaku, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan hospital apabila beberapa tempat berurusan di kawasan terlibat masih dibuka seperti biasa.

"Kami dapati air mulai melimpah ke laluan koridor hospital kira-kira jam 3.15 petang, namun paras ketinggian hanya membabitkan sehingga buku lali. Justeru, perkhidmatan lain di sekitar koridor berkenaan tetap diteruskan seperti biasa kerana keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun, pihak HPSF mengambil inisiatif untuk menutup sementara kemudahan dua buah lif di kawasan terbabit dan hanya membuka sebuah lif di poliklinik sebagai alternatif.

"Di samping itu, kita turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyekat laluan air daripada melalui bilik mamogram kerana itu membabitkan peralatan x-ray yang agak merbahaya. Namun, selepas beberapa jam kami dapati keadaan banjir sudah mulai pulih dan aliran air longkang juga telah berjalan lancar," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, kawasan tempat letak kenderaan hospital yang dilaporkan turut terjejas juga sudah diatasi apabila 10 kakitangannya telah diarah untuk memindahkan 20 kenderaan orang awam yang tersekat dalam banjir.

"Kami sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik termasuk memberikan bantuan segera kepada pelawat hospital yang mana kenderaan mereka telah terkandas dalam banjir dan Alhamdulillah, perkara itu dapat diatasi hasil kerjasama pihak terlibat," katanya.

Selahuddeen dalam pada itu memohon orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak tepat berkaitan kejadian itu sehingga mencetuskan suasana panik kepada waris pesakit.

"Di sini saya ingin meminta orang ramai agar tidak terpengaruh atau menularkan perkara-perkara yang tidak dipastikan kesahihannya. Sebagai contoh, sekeping gambar yang menunjukkan seorang jururawat kami sedang menolak katil pesakit di laluan koridor dilimpahi air menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab mendakwa bahawa pesakit terbabit terpaksa dipindahkan kerana paras air yang semakin tinggi.

"Sedangkan pesakit berkenaan perlu menjalani imbasan x-ray dan ekoran itu, dia perlu melalui laluan koridor berkenaan sambil dibantu oleh jururawat yang menolak katil tersebut. Hal itu telah menyebabkan ramai waris pesakit bimbang dan kita khuatir keadaan akan bertambah buruk hanya gara-gara fitnah yang menjadi tular," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan berkata, sehingga jam 4petang tadi, kejadian banjir kilat telah menjejaskan beberapa kawasan iaitu Bandar Maharani, Bulatan Jalan Sulaiman, Jalan Timbalan, Jalan Arab, Jalan Bakri, Jalan Abdul Rahman, Kawasan Sg Abong dan Kawasan Tanjung Emas, di sini.

Pengurusi Bencana Banjir Daerah, Noorazam Datuk Osman berkata, bagaimanapun sehingga kini paras air sungai muar masih normal dan pihaknya percaya banjir berlaku adalah disebabkan hujan lebat selama dua jam selain faktor binaan beberapa longkang lama yang telah berusia lebih 20 tahun.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com