Henti Sorakan Hina Lawan - Hamidin


PETALING JAYA - Bermula aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia menentang Indonesia, malam Sabtu, Ultras Malaya tidak lagi dibenarkan melaungkan sorakan yang dianggap menghina negara pasukan lawan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata insiden seumpama itu amat dikesali dan persetujuan bersama tersebut dicapai atas dasar persahabatan sesama negara Asean.

"Kami beri jaminan bahawa chant seumpama itu tidak akan dilakukan lagi oleh Ultras Malaya pada baki perlawanan Sukan SEA 2017 ini bermula dengan separuh akhir bertemu Indonesia, malam esok (Sabtu) dan juga final pada Selasa ini (jika Malaysia layak).

"Malah, langkah awal sebenarnya sudah pun diusahakan pihak Ultras Malaya yang tidak melaungkan chant berkenaan ketika perlawanan terakhir Kumpulan A bertemu Laos, Rabu lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Hamidin, persetujuan itu dicapai selepas satu pertemuan diadakan antara FAM, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama dua wakil Ultras Malaya di Shah Alam pada Jumaat.

"Kerjasama baik daripada pihak Ultras Malaya ini begitu saya hargai dan kami tidak menafikan yang sokongan padu daripada Ultras Malaya telah menghidupkan suasana perlawanan di stadium.

"Pada masa yang sama sorakan mereka membantu menaikkan semangat para pemain untuk beraksi lebih baik seterusnya mencapai kemenangan," katanya.

Sorakan Ultras Malaya yang dikatakan agak keras bunyinya kepada pihak lawan menjadi tular dan hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini.

Malah, isu sorakan itu turut dijadikan aduan rasmi kepada pihak penganjur KL2017

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com