Hasil Getah Merosot Mendadak


LABIS - Penoreh getah di daerah ini kini sedang berdepan penyusutan hasil sehingga hampir 50 peratus berikutan pokok mengalami keguguran daun yang menyebabkan getah menjadi kurang.

Seorang pekebun kecil di Kampung Sawah Baru, Abdul Rahim Abdul Malek, 50, berkata, dia yang menoreh di kebun seluas 1.2 hektar hanya memperoleh 30 kilogram getah sehari berbanding 60 hingga 70 kilogram sebelum ini.

Menurutnya, bukan sahaja hasil merosot mendadak, malah harga pasaran getah yang rendah sekitar RM2 sekilogram turut memberi kesan besar terhadap pendapatan mereka.

“Saya harap pihak berwajib dapat buat kajian bagi mengenal pasti masalah yang menyebabkan daun getah yang belum matang luruh selepas ditimpa hujan hingga menjejaskan hasil getah,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rahim berkata, daun getah yang luruh bukan sahaja kerinting, malah terdapat kesan bintik pada daun tersebut yang mungkin disebabkan oleh penyakit bawaan angin.

Bagi Shamsuddin Ibrahim, 61, dia berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pekebun termasuk melakukan ujian kesesuaian tanah dengan klon getah yang ditanam.

“Ini kali pertama pokok getah di kampung saya dan beberapa kawasan lain di sekitar Labis alami masalah ini. Mungkin disebabkan klon sedia ada tidak sesuai dengan keadaan tanah di kawasan terbabit.

“Biasanya daun getah akan kekuningan dan gugur pada musim panas. Proses pucuk muda jadi daun matang dan hasil pulih kembali seperti biasa selalunya makan masa kira-kira dua bulan,” katanya.

Seorang lagi penoreh, Hashim Abu Bakar, 55, turut mengeluh kerana pendapatan hasil mengambil upah menoreh di kebun penduduk kampung terlalu kurang ketika ini.

“Sebelum ini harga getah jatuh, sekarang hasil getah pula kurang. Itu belum lagi cuaca tak menentu, jadi berapa hari sangat yang kami boleh keluar menoreh.

“Kami betul-betul tertekan, dengan kos hidup yang makin tinggi. Bayangkan saya cuma dapat tak sampai RM20 sehari, tambang bas sekolah seorang anak pun RM8 sehari,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui daun getah luruh merupakan fenomena biasa setiap tahun, namun berbeza pada tahun ini apabila ia berlaku dua kali.

Katanya, lazimnya pokok getah akan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk proses daun luruh, mengeluarkan pucuk baharu sebelum bunga dan buah berputik sehingga memaksa penoreh ‘menggantung’ pisau torehan.

“Musim luruh yang pertama berlaku sejak Februari hingga Jun lalu. Tapi kami tak sangka ia berterusan sehingga sekarang dan salah satu faktornya kerana cuaca tidak menentu.

“Ada penoreh rugi sebab pokok getah yang dibaja tidak mengeluarkan susu getah yang sepatutnya," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com