Halang Penjawat Awam, 11 Orang Asli Direman


TAIPING - Mahkamah Majistret Taiping hari ini membenarkan permohonan reman terhadap 11 Orang Asli dari Pos Piah Sungai Siput atas tuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Majistret Mohd Hairol Jemain membenarkan 11 suspek berkenaan direman selama dua hari sehingga selewat-lewatnya jam 5 petang hari ini.

Kesemua Orang Asli berkenaan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Taiping kira-kira jam 10 pagi dan kelihatan keluar pada jam 12.15 tengah hari. Mereka diwakili Peguam KS Bawani dan Bah Tony.

Peguam, KS Bawani berkata, setelah mengadakan perbincangan, pihak mahkamah akhirnya bersetuju memberikan dua hari untuk tempoh tahanan reman 11 Orang Asli berkenaan.

"Sebelum itu, kita meminta semua mereka dibebaskan hari ini namun tidak berjaya. 11 Orang Asli ini didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas sedangkan perkara tersebut tidak berlaku," katanya kepada pemberita pada sidang media di luar Kompleks Mahkamah Taiping, di sini semalam.

Bawani berkata, penahanan mereka adalah berhubung isu pembalakan Hutan Simpan Piah di kawasan Wilayah Tanah dan Adat Orang Asli Kampung Kembok, Pos Piah, Lasah, Sungai Siput.

"Pada 20 Jun 2017, seramai 20 penduduk Kpung Kembok, Pos Piah berjumpa dengan pihak syarikat pembalakan yang mahu memulakan kerja-kerja pembalakan di kawasan tanah adat mereka.

"Lokasi tersebut, hanya lebih kurang satu kilometer dari rumah penduduk kampung. Penduduk berjumpa dan berbincang dan mahukan agar projek pembalakan itu dihentikan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com