Hajat Bawa Ibu Bapa Ke Makkah Tak Kesampaian


JITRA - Hasrat seorang pemuda membawa ibu bapanya menunaikan haji di Makkah tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 12.7 Lebuh raya Plus, di sini dekat Kampung Bendang Perang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu,Wan Qhuzairie Wan Chik, 27, dan rakannya, Muhammad Irfan Aminuddin, 20, maut apabila kenderaan pancuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok.

Ibunya, Zainab Taib, 52, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak sulung dari tiga beradik itu.

"Mak cik dapat tau dari WhatsApp, tak sangka anak sendiri. Memang amat sedih sebab dia pergi secara tiba-tiba.

"Kali terakhir, mak cik jumpa Qhuzairie dua minggu lepas, masa dia pulang ke rumah kami di Kampung Pokkka dekat dengan Kilang Gula Padang Terap," katanya.

Zainab berkata, anak sulungnya yang masih bujang itu tinggal di Jitra bersama rakannya yang bekerja sebagai penjual kereta.

Katanya, dia tidak menyangka perubahan sikap anak lelakinya sejak dua minggu lalu adalah petanda pemergian Wan Qhuzairie.

"Kebiasaannya, arwah lebih ceria dan peramah. Tapi ketika kali terakhir dia pulang ke rumah. anak mak cik lebih pendiam," katanya.

Menurutnya, dia sangka Wan Qhuzairie mendiamkan diri kerana merajuk dengannya atau bapa, Wan Chik Wan Yahaya, 51.

Katanya, dia akan berbual dengan Wan Qhuzairie setiap hari melalui panggilan telefon, bagaimanapun terkilan apabila tidak sempat berbual pada hari kejadian.

"Selalu, kami berbual setiap hari. Cuma mak cik dan cakap dengan dia terakhir malam kelmarin sebelum dikejutkan berita kemalangan arwah.

"Wan Qhuzairi anak yang baik. Dia habaq nak kumpul duit untuk bawa mak cik ke Makkah menunaikan haji," katanya.

Jenazah Wan Qhuzairie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Tarmizi, Kampung Padang Chenderai, sekitar jam 1 pagi, hari ini.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com