Fateen Bukan Isteri Adam Lagi



TEKA-TEKI mengenai hubungan pasangan pelakon Fateen Afeefa dan Adam Shaz terjawab apabila Fateen mengesahkan mereka sudah bercerai sejak Mei lalu.

Fateen, 23, berkata, perceraian itu berlaku bukan disebabkan kehadiran orang ketiga sebaliknya kerana mereka sudah tidak ada persefahaman.

"Sebelum ini memang banyak bertanya mengenai perkara ini, tetapi kami belum bersedia nak berkongsi, malah jauh sekali nak menipu.

Sekarang emosi kami sudah stabil, jadi tak salah jika saya mengakuinya. Lagipun saya dan Adam sudah memulakan hidup baru. Bagaimanapun, hubungan kami masih baik demi dua anak," katanya kepada Harian Metro.

Fateen yang juga pelakon filem Tentang Bulan mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Adam sejak Januari lalu.

Pada masa sama, Fateen tidak menafikan faktor tersalah pilih kawan antara punca dia dan Adam bercerai.

"Apabila berlaku perselisihan faham di antara kami, ada kawan yang menghasut suruh bercerai. Depan saya cakap lain, tetapi apabila dengan Adam dia memburukkan saya. Begitu juga sebaliknya.

"Lama-kelamaan perkara itu menjadi satu masalah besar sehinggalah kami bergaduh. Apabila jadi seperti ini, saya mengaku salah kerana termakan hasutan kawan," katanya.

Bagaimanapun, mereka masih berkawan baik dan tidak menolak jodoh sekiranya ditakdirkan kembali bersama.

Fateen berkata, dia dan Adam bergilir-gilir menjaga anak, malah rutin mereka tetap sama seperti ketika masih berkahwin.

Pasangan ini berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua anak berusia empat dan dua tahun.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com