Exco Pulau Pinang Disiasat SPRM, Dijangka Tahan Reman Hari ini



PULAU PINANG - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini  pukul 2.45 petang semalam selepas pejabatnya digelidah oleh pegawai suruhanjaya itu sebelumnya. 

Boon Poh tiba bersama peguam, R.S.N Rayer dipanggil untuk  memberi keterangan berhubung serbuan SPRM ke atas sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu,  Bukit Mertajam kelmarin.

Terdahulu pukul 11.25 pagi tadi, sekumpulan lima anggota SPRM turut menggelidah  pejabat Boon Poh di Tingkat 53, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebelum meninggalkan pejabat itu bersama beberapa dokumen kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu Bernama melaporkan  anggota Exco kerajaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes sebuah kilang dipercayai beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Exco kanan kerajaan negeri pimpinan DAP itu ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

Wakil Rakyat DAP kawasanDewan Undangan Negeri Sungai Puyu itu hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguamnya  selepas pejabatnya  dikunjungi lima pegawai SPRM pada pukul 11.30 pagi.

Rayer ketika ditemui pemberita di luar pejabat SPRM negeri berkata,  Exco itu kemungkinan akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk perintah tahanan reman.

"Buat masa ini apa yang saya tahu SPRM sedang menyiasat mungkin surat-surat yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat (berkaitan kilang itu). Oleh kerana beliau datang sendiri ke pejabat SPRM saya pun kurang pasti kenapa tiba-tiba ada arahan untuk menahan beliau," katanya - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com