Enam Anggota Polis Direman Tiga Hari, Terlibat Kes Peras Ugut


KUCHING - Enam anggota polis termasuk seorang berpangkat Inspektor direman tiga

hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memeras ugut dengan meminta wang daripada dua individu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Zulhairil Sulaiman di Mahkamah Majistret Kuching di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua suspek ditahan menerusi operasi khas yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian D9 (Siasatan Khas), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak diketuai Deputi Superintendan Sarifudin Mustaffa pada malam dan awal pagi tadi.

Menurut beliau, tangkapan ke atas suspek yang berusia 25 hingga 53 tahun itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat berhubung perbuatan jenayah yang dilakukan mereka di Batu Kawa dan Sematan di sini.

"Dua individu tersebut telah membuat laporan polis mendakwa suspek terbabit telah memeras ugut dengan meminta wang daripada mereka di Batu Kawa dan Sematan.

"Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari D9 IPK Sarawak telah memberkas kesemua suspek di kediaman dan tempat kerja di Kuching, Padawan serta Lundu pada malam tadi dan awal pagi ini," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dev menambah, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com