Dua Kanak-Kanak Dipaksa Tonton Video Lucah


IPOH - Seorang wanita mendakwa dua anak lelakinya dipaksa menonton video lucah dan meniru aksi tersebut di rumahnya di Sungai Buloh, Sungai Siput, kira-kira 50 kilometer dari sini, dalam satu kejadian minggu lepas.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata susulan itu wanita berkenaan membuat laporan polis pada pukul 10 pagi Jumaat.

Dia mendakwa suspek yang juga sepupunya berusia 29 tahun, menunjukkan video lucah melalui telefon bimbit kepada kedua-dua anaknya yang berumur  sembilan dan sepuluh tahun, kata Gan.

Beliau berkata wanita itu turut mendakwa suspek yang merupakan pekerja kontrak Angkatan Pertahanan Awam kemudian memaksa kanak-kanak terbabit meniru aksi berkenaan.

"Selepas kejadian tersebut, mangsa diberi RM4 supaya tidak mendedahkan perkara itu kepada ibu bapa mangsa," katanya.

Susulan itu polis menahan suspek yang jantinanya tidak didedahkan dan dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14(b) dan Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com