Dua Beranak Maut Rempuh Treler, Lori Di Lebuhraya Utara-Selatan


KUALA KANGSAR - Seorang pemandu treler dan anaknya maut selepas kenderaan berat dinaiki merempuh sebuah treler dan lori lain dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd Amin Mohamad Noor, 52, yang memandu treler membawa muatan besi bersama anaknya, Mohammad Sharulnizam, 14, maut di lokasi kejadian akibat parah.

Pemandu lori yang membawa muatan barang elektronik berusia 30 tahun dan pemandu treler membawa muatan kayu lapis berusia 41 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, siasatan mendapati treler dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah selatan menghala utara mengalami masalah brek.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan hilang kawalan dan merempuh lori di lorong kiri lebuh raya sebelum melanggar sebuah lagi treler lain di lorong sama.

“Akibat rempuhan itu, pemandu treler bermuatan besi tersepit manakala anaknya yang duduk di tempat duduk penumpang tercampak dari kenderaan berat itu.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ahmad Termizi berkata, dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com