Derma Darah Dapat Tiket Wayang


MBO Cinemas, Persatuan St John Ambulans dan Pusat Darah Negara menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama menjayakan kempen derma darah yang diadakan di pawagam MBO Cinemas seluruh negara bermula pada 4 hingga 6 Ogos ini.

Kempen kali ini bertemakan Adi Wira menyasarkan menarik sekurang-kurangnya 5,000 penderma bagi membantu menambah jumlah bekalan darah di Pusat Darah Negara yang semakin berkurangan terutamanya selepas Ramadan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Anda tidak perlu melompat daripada bangunan tinggi atau meredah api untuk menjadi seorang adiwira. Kami percaya bahawa setiap rakyat Malaysia boleh menjadi seorang wira atau wirawati dan menyelamatkan nyawa dengan menderma darah. Setiap pain darah yang didermakan berupaya menyelamatkan sehingga tiga nyawa”, kata Pengarah Jualan dan Pemasaran MBO, Cheah Chun Wai.

Tambah beliau, MBO merasa amat gembira kerana dapat memainkan peranan bersama-sama dengan rakan-rakan kami serta penaja bagi menjayakan usaha yang murni ini.

Tema Adi Wira dipilih untuk menggalakkan penyertaan kerana sedikit keberanian diperlukan bagi mengatasi perasaan takut pada darah dan jarum suntikan terutama sekali kepada mereka yang baru pertama kali ingin menderma.

“Kerjasama kami dengan MBO Cinemas merupakan contoh terbaik bagaimana organisasi besar dalam industri hiburan yang mempunyai cawangan di seluruh negara boleh menghulurkan bantuan”, kata Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

“Kami percaya kerjasama ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan kami berharap agar usaha ini dapat direkodkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai ‘Jumlah darah terbesar dipungut oleh rangkaian pawagam dalam satu kempen’," kata Ketua Pegawai (Operasi) St John Ambulans Malaysia, Datuk Burnard Yeo Kim Thong.

Kempen ini juga diharap dapat menyampaikan mesej penting kepada seluruh rakyat Malaysia agar kerap menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi sebelum berlakunya kecemasan.

Statistik menunjukkan hanya 2.2 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia menderma darah. Jumlah berkenaan adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan 3.5 peratus - 5 peratus penderma darah di negara-negara membangun.

Secara purata, hospital-hospital kerajaan dan swasta di Malaysia perlu menyediakan 2,000 beg darah bagi menampung keperluan 1,000 pesakit setiap hari.

Sebagai penghargaan kepada Adi Wira, setiap penderma darah akan menerima sagu hati eksklusif dari MBO Cinemas berupa baucar wayang, makanan ringan dan beberapa baucar menarik sumbangan beberapa penaja lain.  

 Kempen dermah darah ini akan diadakan di seluruh negara pada 5 dan 6 Ogos, daripada 12 tengah hari hingga 6 petang, kecuali Kedah dan Johor di mana ia akan diadakan pada 4 dan 5 Ogos daripada 12 tegah hari hingga 6 petang.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com