Datuk Durjana Didakwa Liwat Cucu Saudara Usia 5 Tahun


MELAKA - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas didakwa meliwat cucu saudara perempuannya berusia lima tahun.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah tempat letak kereta di Bandar Hilir sekitar penghujung bulan Julai dan awal Ogos lalu.

Tertuduh yang berusia 72 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah atas tindakan jijiknya itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan ke atas kanak-kanak perempuan berkenaan di sebuah tempat letak kereta tidak bernombor di hadapan sebuah taman permainan di Stadium Tun Fatimah, Bandar Hilir pada waktu petang penghujung Julai dan awal Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun serta sebatan.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan mangsa adalah cucu saudara kandungnya sendiri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah untuk membenarkannya diikat jamin memandangkan anak kandungnya hadir ke mahkamah dan bersedia untuk membayar wang jaminan.

Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan wang jaminan ditarik semula sekiranya menerima laporan tertuduh mendekati mangsa.

Beliau turut menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sumber: Astro Astro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com