Cukai Pelancongan Tidak Jejas Kehadiran Pelancongan Asing Ke Langkawi - MB Kedah


ALOR SETAR - Kehadiran pelancong luar negara ke negeri Kedah, terutamanya di Pulau Langkawi tidak akan terjejas berikutan pelaksanaan Cukai Pelancongan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah masih menaruh keyakinan sektor pelancongan di negeri ini tidak akan terjejas berikutan langkah mengenakan cukai ke atas pelawat asing .

Lagi pun kos bagi rakyat asing berbelanja di negara ini masih dianggap murah walaupun mereka perlu membayar cukai tambahan untuk penginapan itu, katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini petang semalam.

" Saya rasa pelaksanaan cukai itu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negeri ini kerana kementerian sudah mengambil kira semua aspek,  bukan sahaja di Pulau Langkawi tetapi di seluruh negara," katanya.

Ahmad Bashah berkata, pelancong asing kebiasaannya datang dengan wang yang mencukupi untuk melancong di sesebuah negara dan cukai yang dikenakan itu tidak membebankan mereka.

Pada 26 Julai lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Cukai Pelancongan yang dilaksanakan oleh kerajaan hanya tertakluk kepada pelancong asing sahaja.

Kerajaan memutuskan bahawa Cukai Pelancongan tidak dikenakan kepada rakyat Malaysia yang menginap di semua jenis premis penginapan termasuk hotel yang tiada bintang hingga lima bintang.

Mohamed Nazri kadar cukai itu hanya melibatkan pelancong asing adalah sebanyak RM10 bagi setiap bilik semalam merentasi semua taraf hotel. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com