Cubaan Tabloid Jejak Ungkapan "Kutty" Juga Gagal


ALOR SETAR - Pencarian sebuah tabloid tempatan tentang nama "Kutty" dan asal-usul keturunan turut hampa baru-baru ini apabila Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menafikan nama yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pengerusi PSMCK, Baharuddin Abd Majid, 71, berkata, berdasarkan sijil kelahiran Mahathir yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Alor Setar, namanya dibinkan kepada nama bapanya, Mohamad bin Iskandar.

Manakala, keturunan Mohamad juga tertera perkataan Melayu.

"Mohamad pula lahir di Pulau Pinang pada 1881 dan kembali ke rahmatullah pada 1961, di usia 80 tahun. Datuk Mahathir, Iskandar berasal dari Pulau Pinang," katanya, memetik laporan Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurut laporan itu, kad pengenalan biru milik Mahathir juga turut tertera "Mahathir bin Mohamad", bukannya "anak lelaki Iskandar Kutty" seperti heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

"Ini termasuk kesemua sijil pelajaran rendah dan pendidikan tinggi turut dinamakan Mahathir bin Mohamad," tambahnya lagi.


Keturunan Mahathir yang dikatakan berasal dari India sebelum ini menjadi mangsa ejekan para pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli dan lain-lain khususnya di ceramah politik serta kempen-kempen pilihan raya.

Difahamkan, tiada siapa yang berani mempersoal asal-usul Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri, berkemungkinan bimbang akan diberi tekanan sebagaimana yang dihadapi pemimpin pembangkang ketika itu.

Kedahnews.com sebelum ini melaporkan tentang salasilah Mahathir dari sumber Rumah Kelahiran beliau di Seberang Perak hanya tertera dari keturunan di sebelah ibu, namun salasilah keturunan di sebelah bapanya terhenti pada Iskandar sahaja.


Tiada sebarang maklumat lain mengenai nama bapa Iskandar yang dikatakan dari Pulau Pinang dan berkahwin dengan Siti Hawa yang berasal dari Johor yang menghasilkan anak yang bernama Mohamad.

Mahathir dalam bukunya "A Doctor In The House" mengakui dirinya berdarah India, namun tidak tahu wilayah asal usul keturunan beliau dan langsung tiada sebarang ungkapan "Kutty" atau "Kerala" sebagaimana didakwa.


Sebuah laman facebook penyokong anak Mahathir, Mukhriz Mahathir FC juga sebelum ini mendakwa beliau berasal dari Kerala di India, meskipun Mahathir sendiri tidak tahu dan tidak pernah mengesahkan asal usul keluarganya dari wilayah berkenaan.

Lebih aneh, laman Facebook itu membela nama baik Mahathir dengan mendakwa Kerala bukan merujuk kepada nama tempat, sebaliknya nama kaum di wilayah India.

Meskipun begitu, fakta menjelaskan bahawa Kerala adalah sebuah wilayah di selatan India di persisiran pantai Malabar yang dihuni masyarakat Malayali dari pelbagai suku etnik seperti Kadar, Kanikkar, Malapandarams, Mutuvans, Ullatans, Uralis, Paniyas dan sebagainya, namun tiada etnik "Kerala" direkodkan.

Nama "Kutty" sebelum ini kembali hangat diperkatakan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa nama Mahathir yang asal adalah "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty". - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com