Clever Girl Kena Kritik Kerana Tak Kenal Tokoh Kelahiran Johor, Penerbit Dakwa Visha Gugup


Episod pertama Clever Girl baru saja bersiaran Jumaat lalu dan 14 peserta sudah diberikan soalan mencabar sehingga ada diantaranya gagal memberikan jawapan yang tepat.

Seperti tahun lalu, musim kedua program realiti bercorak permainan ini hangat diperkatakan apabila peserta dari Johor, Visha gagal mengecam muka Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman iaitu Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Netizen mengkritik peserta terbabit kerana bukan sahaja tidak mengenali tokoh kelahiran Johor itu tetapi turut menjawab beliau berasal dari Indonesia.

Menjawab isu terbabit, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Primeworks Studios Nazatul Fariz Mohd Aziz menganggap Visha mungkin terlalu gementar.

“Semua peserta gementar kerana ini minggu pertama, tambahan pula tekanan daripada pesaing.

“Sesiapa dalam situasi mereka pasti menjadi gugup dan berkemungkinan memberi jawapan salah.

“Berdasarkan pandangan peribadi, memang ada orang mengenali nama tokoh namun tidak kenal muka dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Bagi minggu kedua Clever Girl, malam Jumaat ini, Nazatul berkata produksi mempertimbangkan untuk menambah kesukaran soalan untuk peserta.

“Soalan untuk musim kali ini lebih sukar kerana pihak produksi mahu mencapai hasrat Malaysia untuk melahirkan gadis pintar.

“Oleh itu, kami berharap soalan pada minggu akan datang tidak akan mencetuskan masalah kepada peserta.

“Sudah tentu ada elemen kejutan seperti menjawab kuiz pada setiap minggu dan ini akan ditentukan komiti Clever Girl,” katanya.

Secara keseluruhan bagi pertandingan minggu pertama, Nazatul berkata produksi serta pihak komiti berpuas hati dengan prestasi peserta dan berharap penonton terus menyokong program berkenaan.

“Saya percaya dengan kebolehan peserta Clever Girl kerana masing-masing ada potensi dan insya-Allah, mereka akan memberi saingan lebih sengit pada minggu kedua.

“Penonton turut diharapkan memberi peluang kepada peserta dan membantu mereka dalam subjek tertentu,” katanya.

Peserta dari Pulau Pinang, Kiera atau nama sebenarnya Noor Syakirah Mohd Azam muncul juara minggu pertama, manakala wakil Pahang, Ain tersingkir.

Saksikan minggu kedua Clever Girl pada Jumaat ini, jam 10 malam di TV3.

Bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pusingan akhir Clever Girl pada 13 Oktober depan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com