Boling Padang: Single Lelaki Tambah Kilauan Emas Ke-6


AKSI secara taktikal oleh Muhammad Soufi Rusli pada acara single lelaki hari ini membuahkan hasil kilauan emas keenam buat Malaysia dalam acara boling padang sekali gus melepasi sasaran empat pingat emas.

Skuad boling padang negara menambah satu lagi emas menerusi acara single lelaki hari ini selepas membenam Singapura dengan mata 21-6 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara di sini.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 30 tahun itu memulakan langkah pada ends pertama mendahului satu mata sebelum jauh meninggalkan pesaing, Lee Yuan Min sehingga ke ends penamat.

Bermain sehingga ke ends 18, Muhammad Soufi mengekalkan rentak permainan tanpa memberi peluang kepada lawannya untuk menandingi mata yang diperoleh walaupun Yuan Min mula mendapat mata pada ends ke-8 iaitu 11-2.

Kebangkitan lawan langsung tidak menggentarkan Muhammad Soufi apabila beliau membuat kutipan mata sebanyak 13 kali berbanding Yuan Min yang hanya tiga kali mengutip mata.

Muhammad Soufi ,  Konstabel Sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memecahkan rekod yang dibuat jurulatihnya Syed Mohamad Syed Akil pada Sukan SEA 2001 dalam acara sama.

"Kejayaan ini menuntut pelbagai pengorbanan namun perjalanan saya masih jauh lagi. Alhamdulillah saya berasa lega apabila amanah selesai dengan merangkul emas. Sasaran saya selepas ini adalah mewakili Malaysia pada Sukan Komanwel di Australia tahun depan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Muhammad Soufi merupakan pemegang pingat gangsa pada World Single Champion of Champion di Australia (2016) dan pingat perak pada World Single Indoor di Sidney (2017).

Sementara itu, Syed Mohamad Akil yang juga anggota PDRM berpangkat Sarjan Mejar menzahirkan rasa bangga dan yakin kesemua 20 atlet boling padang yang terlibat pada Sukan Sea Kuala Lumpur (KL2017) akan terus berjaya dalam pertandingan seterusnya sehingga ke persada dunia.

"Saya mahu mereka kekalkan disiplin dan mantapkan prestasi masing-masing untuk berjaya dalam karier ini," kata jurulatih berusia 54 tahun itu.

Kalungan pingat disampaikan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com