Bertemu Keluarga Calon Isteri Tak Benar, Kongsi Khabar Gembira Bila Tiba Masa


Mengharapkan doa yang terbaik daripada semua orang, pelakon Datuk Eizlan Yusof, 46, akan berkongsi khabar gembira mengenai dirinya andai sudah tiba masa.

Dia yang menafikan dakwaan sudah bertemu keluarga calon isteri seperti yang dilaporkan baru-baru ini berkata semua itu tidak benar.

Eizlan berkata, dia sendiri terkejut apabila menerima ribuan mesej daripada teman mengucapkan tahniah selepas mereka membaca berita itu.

“Sebenarnya perkara itu tidak benar. Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita seperti itu boleh timbul. Saya sendiri sangat terkejut apabila bangun pagi menerima banyak mesej daripada kawan mengucapkan tahniah.

“Selepas mendapat tahu mengenai cerita yang tersebar barulah saya mengerti. Bagi saya hal seperti ini tidak perlu disorokkan jika ia betul dan andai sudah tiba masanya saya akan beritahu kepada semua,” kata pelakon Dendam Aurora ini.

Menerusi ruangan berita hiburan berkenaan, Eizlan dikatakan sudah bertemu keluarga bakal isterinya untuk memohon restu bagi meneruskan hubungan ke peringkat seterusnya.

Mereka mula berkenalan selepas masing-masing bertemu pada satu acara rasmi dan difahamkan bapa wanita itu turut mengenali Eizlan atas urusan perniagaan.

Terdahulu, Eizlan sebelum ini pernah membuat kenyataan dia sudah bersedia membuka hatinya untuk mencari calon yang sesuai dijadikan pasangan hidup.

Dalam pada itu, Eizlan mengakui dia mengharapkan seorang teman yang memahami dan boleh menerima kerjaya dan dirinya seadanya.

Malah dia tidak kisah status wanita berkenaan sama ada masih bujang atau berstatus ibu tunggal.

“Tidak saya nafikan sedang berkawan dan mengenali ramai wanita. Mungkin cara saya itu menyebabkan mereka berfikir saya sudah ada seseorang.

“Selama saya berada dalam industri seni, media banyak membantu dan memberi sokongan kepada kerjaya. Oleh itu, tidak mungkin saya akan ketepikan media semua dan pasti akan berkongsi perkara gembira ini nanti,” katanya.

Bapa tunggal kepada anak tiga itu berkata, disebabkan sudah lama tidak keluar bersosial menyebabkan ada yang salah faham melihat keakrabannya dengan ramai wanita.

“Tidak saya nafikan sudah terlalu lama tidak keluar bersosial dan apabila berbuat begitu mulalah timbul pelbagai cerita,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com