"Berkahwin" Sama Jenis Kerana Mahu 'Seru Hujan'


New Delhi - Perkahwinan sejenis tidak sah di India, tetapi ini tidak menghalang dua lelaki - yang masing-masing normal dengan mempunyai isteri dan keluarga - ‘berkahwin’ kerana diharapkan mampu membawa hujan ke tempat mereka yang mengalami kemarau teruk.

Dalam acara di Indore, Madhya Pradesh, dua lelaki berkenaan, Sakaram Ahirwar dan Rakesh Adjan bersetuju melakukan acara itu kerana dipercayai dapat memujuk dewa hujan, Indra.

Menurut kepercayaan tempatan, dewa berkenaan akan datang ke sesuatu tempat di mana berlaku kejadian yang luar biasa. Indore menerima kadar hujan 20 peratus kurang berbanding biasa, tahun ini.

Dalam gambar disebarkan menerusi Internet, dua lelaki berkenaan dilihat berpakaian pengantin tradisional dengan puluhan orang menyertai rombongan pengantin yang menari dan menyanyi disertai lagu-lagu Hindustan popular.

Seorang sami turut menjalankan ritual mengikut adat Hindu dilengkapi unggun api dalam majlis yang turut dihadiri isteri serta anak kedua-dua lelaki berkenaan.

Penganjur acara, Ramesh Singh Tomar berkata, dua lelaki terbabit adalah pekerjanya dan dia memikirkan acara itu dengan harapan dapat ‘memanggil hujan.’

“Kami mengharapkan Indra menghujani kami dengan rahmatnya, seterusnya menamatkan kemarau di sini,” katanya yang memiliki syarikat pembekal air.

Kebetulan, hujan turun seketika sewaktu majlis sedang berlangsung yang dianggap petanda positif hadirin.

Acara itu ditamatkan dengan jamuan sebelum kedua-dua pengantin pulang ke keluarga mereka.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com