Bandar Raya Chicago Saman Trump


CHICAGO - Chicago mengemukakan saman untuk menghalang pentadbiran Donald Trump daripada menguatkuasakan dasar baharu yang akan menyekat wang dari 'bandar tumpuan pendatang' (Sanctuary cities) yang menafikan akses kepada pegawai imigresen Amerika Syarikat (AS) ke penjara setempat.

Tuntutan itu, yang difailkan di Mahkamah Daerah A.S, menyebut dasar persekutuan memaksa bandar ketiga terbesar negara itu untuk memilih antara hak perlembagaannya dan pembiayaan untuk penguatkuasaan undang-undang.

"Syarat-syarat baru ini juga terpakai dalam menghadapi dasar bandar yang lama yang menggalakkan kerjasama antara penguatkuasa undang-undang tempatan dan komuniti pendatang," kata tuntutan itu.

Dasar-dasar itu juga termasuk keperluan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan memberikan pihak berkuasa persekutuan 48 jam notis sebelum membebaskan sesiapa saja yang dikehendaki atas kesalahan pelanggaran imigresen.

Datuk bandar dan anggota Demokrat, Rahm Emanuel berkata, bandar itu akan menyaman pentadbiran Trump kerana meningkatnya tekanan terhadap tindakan keras imigresen yang dilancarkan.

Bandar tumpuan pendatang pada umumnya menawarkan pendatang tanpa izin persinggahan selamat dengan menolak untuk menggunakan sumber perbandaran bagi menguatkuasakan undang-undang imigresen persekutuan.

Puluhan pemerintah dan bandar-bandar setempat, termasuk New York dan San Francisco, adalah sebahagian daripada gerakan bandar tumpuan pendatang ini. Bagaimanapun 'bandar tumpuan pendatang' bukan satu nama rasmi.

Tuntutan itu dibuat hampir dua minggu selepas Peguam Negara, Jeff Sessions berkata Jabatan Kehakiman akan menghalang bandar-bandar itu daripada menerima Geran Memorial Keadilan Edward Byrne, melainkan mereka membenarkan pihak berkuasa imigresen akses tanpa had ke penjara setempat dan memberi notis pra-pembebasan 48 jam.

Chicago dijangka menerima AS$3.2 juta (RM13.7 juta) tahun ini untuk pembelian peralatan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com