Badan Ditusuk Besi Penghadang Jalan


AHMEDABAD - Seorang lelaki hampir maut selepas badannya ditembusi besi penghadang jalan raya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Piyush Sondarva, 30, memberitahu, dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya pada bulan lalu ketika pulang dari bekerja.

Katanya, ketika kejadian dia memandu pulang ke rumah tetapi tertidur menyebabkan keretanya merempuh besi penghadang di tepi jalan raya.

“Apabila sedar saya tidak boleh bergerak dan berasa sakit di bahagian kanan badan.

“Tidak lama selepas itu baru saya sedar satu besi penghadang jalan sepanjang lebih satu meter menembusi badan saya dan kerusi kereta,” katanya.

Ujarnya, dia juga masih sedar ketika orang ramai dan pasukan kecemasan memotong besi sebelum membawanya ke hospital.

Selain kecederaan parah di dada, dua jari kanan Sondarva turut hancur dan dia mengalami kecederaan pada tangannya.

Seorang pakar bedah di Hospital Shalby, Dr Bhavin Desai memberitahu, pembedahan untuk mengeluarkan besi pada badan Sondarva sukar kerana beberapa tulang rusuknya patah termasuk kecederaan pada paru-paru dan organ dalaman lain.

“Besi ini menembusi badan Sondarva selama lebih sejam sebelum berjaya dikeluarkan melalui satu pembedahan,” katanya.

Menurutnya, keadaan Sondarva kini semakin sembuh dan lelaki itu sangat bernasib baik kerana masih hidup walaupun mengalami kecederaan yang sangat parah. - Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com