Babi Hutan Masuk Kawasan Masjid


SEREMBAN - Jemaah Masjid Kariah Dato’ Klana Petra Dato Haji Murabak Ampangan di sini bimbang dengan kehadiran babi hutan yang berkeliaran di kawasan rumah ibadah berkenaan sejak awal tahun lalu.

Imam 1, Datuk Muhamad Yasin bagaimanapun berkata, buat masa ini haiwan liar terbabit tidak pernah menganggu jemaah dan hanya berkeliaran di kawasan perkarangan masjid sahaja.

“Walaupun tak pernah lagi ada jemaah yang diserang, tapi kita bimbang jika suatu hari nanti haiwan itu mula bertindak ganas yang boleh mencemarkan kawasan sekitar masjid.

“Saya pernah nampak sampai enam ekor babi hutan berkeliaran di kawasan belakang masjid menyebabkan para jemaah terutamanya wanita berasa takut,” katanya.

Menurutnya, dia percaya haiwan itu berkeliaran di kawasan masjid disebabkan habitatnya dimusnahkan oleh projek pembangunan selain kawasan masjid yang bersebelahan dengan Belukar Bukit Tabur.

“Kawasan hutan dah tak banyak lagi, jadi tak peliklah jika haiwan ini mudah dilihat berkeliaran di mana-mana. Jika dahulu dia hanya bermain di kawasan luar masjid sahaja, tapi sekarang dah berani masuk ke dalam kawasan perkarangan.

“Mungkin babi hutan ini cari makanan dan biasanya dia akan muncul menjelang Maghrib. Tapi kita perasan dalam tempoh beberapa bulan ini banyak kali pula berkeliaran di sini (masjid) dan kadang-kadang pada waktu siang ketika kelas pengajian al-Quran diadakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan menyiasat aduan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com