Atlet Decathlon Negara Dari Alor Setar Cedera, Terima Tujuh Jahitan


KUALA LUMPUR - Malang tidak berbau buat atlet decathlon negara apabila mengalami kecederaan serius hanya kurang dua minggu sebelum Sukan SEA (KL2017) bermula.

Mohd Luqman Zuki terpaksa akur selepas menerima tujuh jahitan di pangkal betis kirinya apabila terkena tiang besi gol bola jaring ketika menjalani latihan di Stadium Mini Institut Sukan Negara (ISN) pagi Jumaat.

Menurut Luqman, tiang besi bola jaring itu terkena betisnya ketika dia cuba mengalih peralatan itu ke tepi padang.

"Jurulatih (Rifat Ativoc) saya terus membawa ke klinik ISN dan menerima tujuh jahitan.

"Doktor memaklumkan saya perlu tunggu dalam tempoh sepuluh hari sama ada boleh beraksi atau tidak pada Sukan SEA nanti," ujarnya dengan nada kecewa kepada mStar Online.

Jelas Luqman, perkara yang berlaku ini di luar jangkaan dan agak mengecewakan memandangkan ini merupakan penampilan pertamanya  dalam Sukan SEA.

"Tak boleh buat apa dah. Tunggu 'ja' la keputusan doktor nanti. Saya cuba positif supaya sempat sembuh.

"Memang impian saya untuk pecahkan rekod negara (yang dipegang Mohd Malik Ahmad Tobias) iaitu 7,095 mata," ujar Luqman.

Jelas atlet kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 19 tahun ini, dia mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk sampai ke tahap ini.

"Masih terkejut dengan kejadian ini. Apa pun saya tetap akan menjalani latihan ringan. Tunggu keputusan akhir nanti," tambahnya ringkas.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com