AS ‘Beralah’ Dengan Korea Utara


WASHINGTON  – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson menegaskan negara tersebut bukan mahu menjatuhkan dan melakukan perubahan terhadap rejim pentadbiran Korea Utara yang sedia ada.

Kenyataan Tillerson dibuat beberapa hari selepas pelancaran ujian pe­luru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang ke­dua oleh Korea Utara dalam tempoh sebulan.

“Kami bukan musuh anda tetapi anda membentangkan ancaman yang tidak boleh diterima kepada kami dan kami perlu bertindak balas.

“Kami berharap bahawa pada satu ketika mereka akan mula memahami dan kami ingin duduk dan mengadakan dialog dengan mereka,” kata Tillerson kepada wartawan dalam satu sidang media.

Tillerson turut mengulangi pendirian AS bahawa negara itu tidak pernah merancang untuk menjatuhkan rejim kepemimpinan atau melakukan perubahan dalam pentadbiran di negara komunis itu.

“Kami tidak mencari pen­yatuan semula Semenanjung Korea. Kami juga tidak mencari alasan untuk menghantar tentera kami ke sempadan utara di sepanjang Paralel ke-38 itu,” jelas Tillerson.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan, ujian ICBM terbaharu yang dilakukan minggu lalu itu bertujuan mengesahkan spesifikasi teknologi keseluruhan sistem senjata Hwasong-14 yang mampu membawa kepala peledak nuklear bersaiz besar mengikut julat maksimumnya.

Semalam, Korea Utara dilaporkan menyelar AS kerana meluluskan rang undang-undang sekatan baharu terhadapnya selepas Kongres AS mencapai kata sepakat pada 27 Julai untuk mengenakan tindakan tersebut terhadap Rusia, Iran dan Korea Utara.

“Sekatan baharu terhadap Korea Utara, Rusia dan Iran yang baru-baru ini diluluskan oleh Kongres AS bakal memburukkan lagi ancaman antarabangsa yang sudah semakin meningkat,” kata seorang jurucakap kementerian luar negeri yang dipetik oleh KCNA.

“Sekatan tersebut bertuju­an ‘menyelamatkan ekonomi AS’ dengan menjamin pasaran tenaga dan meningkatkan eks­portnya dilihat sebagai usaha menceroboh kepentingan sekutu dan rakannya tanpa gangguan pesaingnya,” kata jurucakap berkenaan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com