Anggota RELA Maut, Senapang Patah Meletup


SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas senapang patah diletakkan dalam raga motosikalnya meletup, 2.45 pagi semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Banggol Chapok, Tok Uban, Pasir Mas ketika mangsa, Mohd Roddin Hashim, 45, menunggang motosikal bersama isterinya dipercayai untuk memburu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa cedera parah di leher dan telinga, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Suami isteri berkenaan menunggang motosikal dari rumah mereka di Kampung Kolam disyaki untuk memburu.

"Bagaimanapun senapang patah yang diletakkan dalam raga motosikal dengan muncung ke atas, meletup dan peluru penabur terkena leher dan telinga mangsa.

"Mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat," katanya ditemui di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, senapang itu didaftarkan di atas nama mangsa menggunakan lesen anggota RELA.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com