Anak Exco Kedah Maut Kemalangan, Persidangan Terhenti


JITRA - Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Kubang Pasu yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN) dekat sini dihentikan sejurus selepas exco kerajaan negeri, Datuk Aminuddin Omar menerima berita kematian anaknya.

Aminuddin yang duduk bersama beberapa pemimpin Umno Kubang Pasu di atas pentas dilihat bergegas meninggalkan majlis ketika Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Khairul Azwan yang terkejut apabila dimaklumkan berita itu selang beberapa minit turut meminta kira-kira 360 perwakilan Pemuda yang hadir untuk membacakan Al-Fatihah.

“Saya tidak dapat meneruskan ucapan ini, saya amat bersedih, Al-Fatihah untuk anak lelaki Datuk Aminuddin Omar yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya sebentar tadi,” katanya.


Aminuddin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Anggota  Dewan Undangan Negeri Jitra serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Irfan Aminuddin, 20, dan rakannya maut apabila kereta jenis Toyota Hilux dinaiki mereka melanggar sebatang pokok dan terbabas di KM 12.7, Kampung Bendang Perang, Changlun.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian. –Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com