Akhbar Thai Dakwa Malaysia Tidak Adil


BANGKOK - Sebuah akhbar tempatan menuduh Malaysia memperkecilkan kehebatan Thailand dalam acara sepak takraw dengan mengehadkan jumlah acara yang boleh disertai oleh negara peserta pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris, ‘The Nation' dalam lidah pengarangnya pada Khamis mendakwa Malaysia, selaku tuan rumah, telah meminta Thailand tidak menyertai acara berpasukan lelaki, yang dianggap acara paling penting dalam sukan itu.

“Dilaporkan, tuan rumah mendapat keistimewaan menyertai kesemua lima acara  manaka negara lain dibenarkan menyertai tidak lebih daripada tiga acara,” menurut akhbar itu.

Ia berkata Persatuan Sepak Takraw Thailand telah tunduk kepada permintaan Malaysia dan akan menamakan pemain dalam tiga acara – acara berpasukan, beregu dan kuadran.

Menurut akhbar tersebut, ramai peminat sukan tempatan marah dengan tindakan itu yang dianggap berat sebelah dan menonjolkan amalan lama yang memberikan tuan rumah memiliki kelebihan berbanding negara peserta lain.

“Amalan ini akan hanya menimbulkan kemarahan negara peserta dan rakyatnya dan ia tidak akan berakhir kecuali semangat kesukanan yang sebenar dihormati,” kata akhbar tersebut.

Malaysia akan menjadi tuan rumah KL2017 dari 19 hingga 30 Ogos ini.-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com