AirAsia Mulakan Penerbangan Pertama Kuching-Langkawi


KUCHING - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia melancarkan penerbangan sulung dari Kuching ke Langkawi hari ini.

Laluan baharu tersebut akan beroperasi dengan kekerapan penerbangan sebanyak empat kali seminggu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Penerbangan pertama yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 12.55 tengah hari, diiringi oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz dan Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee.

Ketibaan penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah pula disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin dan Pengurus Bahagian Promosinya, Nor Aznan Suleiman.

Sempena meraikan laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM100 bersih sehala yang boleh ditempah secara atas talian di airasia.com bermula hari ini hingga 13 Ogos 2017 bagi tempoh perjalanan sehingga 8 Februari tahun depan.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com