Air France Nyaris Kena Peluru Berpandu Korea Utara


TOKYO – Sebuah pesawat Air France yang membawa 323 orang, nyaris berkecai di udara apabila dihampiri peluru berpandu Korea Utara kira-kira 100 kilometer semasa di ruang angkasa Jepun.

Laluan penerbangan pesawat Boeing 777 oleh Air France itu menunjukkan lokasinya di barat Hokkaido -pulau paling utara dari gugusan kepulauan Jepun, ketika peluru balistik rejim Pyongyang kebetulan meluncur di udara.

Pesawat AF293 yang dalam penerbangan rutin dari Haneda, Tokyo ke Charles de Gaulle, Paris itu secara kebetulan melintasi lokasi laluan peluru berpandu antara benua tersebut sebelum jatuh ke laut sekitar 10 minit kemudian.

Pihak berkuasa Jepun dan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan peluru berkenaan jatuh cuma sekitar 100 hingga 150 kilometer dari pesawat itu. Ia dilancarkan dari wilayah Jangang di utara Korea Utara pukul 11.41 malam Jumaat.

Stesen Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK) melaporkan bahawa peluru tersebut mencecah ketinggian lebih 3,000 kilometer dan terbang selama 45 minit sebelum terhempas di perairan laut zon ekonomi eksklusif Jepun.

“Ini berlaku di kawasan yang sibuk dengan laluan kapal dagang kontena antarabangsa dan bot nelayan Jepun. Pergerakan peluru berpandu itu seperti tidak diselaras dengan baik,” kata jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis.

Ia malah berada di laluan utama banyak pesawat komersial ulang-alik antara Jepun dan benua Eropah. Pihak Air France dalam pada itu mengesahkan peluru Korea Utara itu sama sekali tidak menjejaskan laluan penerbangannya.

“AF293 bahkan terbang tanpa masalah. Maklumat diterima menunjukkan peluru berpandu itu hancur lebih 100 kilometer dari laluan pesawat tanpa disedari sesiapa,” kata jurucakap Air France kepada stesen tempatan RFI.

Meskipun pesawatnya tidak berada dalam lokasi yang berbahaya, Air France menyatakan bahawa mereka tetap akan memperluaskan zon yang tidak boleh dilalui penerbangannya di sekitar Korea Utara sebagai tindakan berwaspada.

Terdahulu, pihak berkuasa AS mengeluarkan amaran potensi bahaya berhubung ancaman siri ujian peluru berpandu Korea Utara bagi semua pesawat komersial di sekitar wilayah negara rejim komunis Pyongyang itu.

Ia sebagai panduan susulan insiden pesawat MH17 milik Malaysia Airlines terkena bedilan peluru berpandu di timur wilayah Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Seramai 283 orang di dalamnya terkorban. Pada 1 September 1983, sebuah pesawat Korea Selatan, KAL007 pernah hancur dibedil pesawat tentera Soviet (kini Rusia) ketika berada dekat Jepun. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com