Ahmad Lebai Sudin Prihatin Terhadap Keluhan Penduduk Pokok Sena


ALOR SETAR - Bantahan serta keputusan tidak setuju penduduk dan peniaga di Taman Bandar Baru Pokok Sena baru-baru ini terhadap cadangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mahu membina medan selera di tapak baharu mendapat perhatian Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Jelasnya, pada 12 Julai lalu pihak MBAS bersama-sama dengan 30 peniaga telah mengadakan perbincangan bagi merungkai permasalahan dan keluhan penduduk yang tidak bersetuju dengan cadangan mahu membina medan selera.

Hasil daripada perbincangan tersebut pihak MBAS berjaya mencapai kata positif apabila mereka bersetuju dengan cadangan MBAS membina medan selera.

Namun begitu, beliau berharap agar perjumpaan sekali lagi diadakan bagi menyelesaikan masalah yang sekali lagi timbul.

"Jadi saya mohon diadakan sekali lagi perjumpaan ini bagi membincangkan hal-hal berbangkit.

"Kita tak mahu ada masalah lain timbul di kemudian hari," katanya.

Tambahnya lagi, penduduk juga tidak perlu khuatir dengan masalah logi kumbahan yang berada berdekatan dengan medan selera kerana pihak MBAS sudah menyediakan satu perancangan untuk melindungi kawasan itu daripada pandangan orang ramai.

"Manakala medan selera yang turut akan dibina di bersebelahan tapak permainan kanak-kanak sekarang ini bertujuan memudahkan pengunjung menjamu selera di samping anak-anak dapat bermain di situ,” katanya.

Terdahulu, penduduk dan peniaga mengadakan bantahan mengenai pembinaan medan selera di kawasan berhampiran kawasan loji kumbahan dan tapak taman kanak-kanak.

Peniaga dan penduduk mendakwa tindakan MBAS itu akan merugikan mereka kerana menimbulkan masalah pencemaran bau selain lokasi yang tidak strategik.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com