Ahli UMNO Sabah Matang Berpolitik, Parti Kukuh Selepas Berdepan Ujian - Hishammuddin


KEMATANGAN anggota UMNO Sabah membolehkan parti ini mendepani ujian tanpa menjejaskan perpaduan sesama mereka, baik di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekalipun UMNO Sabah adalah 'adik bongsu' dalam kalangan badan perhubungan UMNO negeri, ia tetap berupaya mempamerkan kematangan, kewarasan dan kekuatan yang luar biasa.

Ini katanya dapat dilihat ketika UMNO Semporna berdepan ujian pada tahun lepas yang meletakkan pemimpin dan anggotanya di persimpangan.

"Ketika itu saya sendiri turun ke Semporna untuk merasmikan persidangan perwakilan bahagian serta memberikan kata-kata semangat dan mengingatkan kembali hala tuju parti. Bukan mudah ketika itu," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Libaran, di sini semalam. Turut dihadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata pada akhirnya ujian itu mengukuhkan lagi kematangan UMNO Sabah yang pastinya dapat membantu untuk menghadapi cabaran pada masa depan, khususnya semasa pilihan raya umum.

Tahun lepas, UMNO Semporna berdepan cabaran apabila Ketuanya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Naib Presiden parti tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan tertinggi dalam beberapa isu, dan berakhir dengan beliau keluar parti.

Sementara itu, Musa ketika berucap pada majlis itu berkata kewujudan UMNO Sabah telah memberi banyak nikmat kepada rakyat negeri ini dari segi pembangunan dan membela nasib rakyat.

UMNO merupakan parti yang berpengalaman memerintah negara sejak merdeka bersama-sama dengan rakan dalam Barisan Nasional (BN), ujarnya.

Katanya UMNO telah menjadi tiang seri pemerintahan negara yang berjaya membangunkan dan menyatupadukan rakyat yang terdiri berbilang kaum, agama dan budaya.

-Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com