Ahli Parlimen BN, Pembangkang Puji Model Boyoue Keluaran Proton - Geely


KERJASAMA Geely-Proton disambut baik oleh ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang yang merasai sendiri pengalaman menaiki Geely Boyue  ketika ianya dipamerkan di bangunan parlimen, kelmarin

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipetik Free Malaysia Today berkata, model Geely Boyue yang akan menjadi model pertama SUV Proton pada masa akan datang mempunyai citarasa rakyat kini.

“Reka bentuknya kompetitif dengan model popular sekarang. Bahkan turut mempunyai elemen dari Range Rover,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong juga yakin model Boyue akan diminati ramai.
“Kita perlu pandu uji dahulu, jika belum pandu uji, kita tidak akan tahu dengan prestasinya. Secara keseluruhannya, model ini memang model terkini dan yakin ia akan diminati.” katanya.

Sementara itu pemeteraian perjanjian syarikat Geely dan Proton tidak akan mengulangi model kerjasama syarikat automotif negara dengan rakan niaga lainnya sebelum ini.

Ketua Jurutera Kanan Geely, Li Li berkata, Proton akan diberi kebebasan untuk melakukan talaan sendiri kepada suspensi kenderaan disampil mengekalkan DNA pengendalian yang diperakui 'antara terbaik'.

Proton sebelum ini banyak bekerjasama dengan syarikat asing namun sekadar 'rebadge' (menjenamakan semula) model berkenaan seperti model Perdana daripada Honda Avvord gen-8, model Ertiga daripada syarikat Suzuki serta Proton Inspira daripada model Mitsubishi Lancer.

Li yang bertugas di ibu pejabat Geely di Hangzhou Bay, China juga memuji bahagian pembangunan casis Proton dan bersedia untuk bekerjasama membina model baru Geely berdasarkan rangka dikeluarkan Proton.

“Saya rasa kerjasama kami pada masa hadapan akan menjadi kerjasama menang-menang, tambah-nilai,” kata Li dipetik portal automotif, paultan.org.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini, Proton telah melepaskan haknya ke atas syarikat kenderaan berprestasi Lotus kepada Geely.

Ujar Li, Geely kini dalam kerangka untuk meningkatkan potensi Lotus Cars sepenuhnya dan membawa jenama syarikat tersebut ke fasa baru dengan mempercepatkan serta meluaskan produk serta teknologi Lotus.

Geely Boyue dikuasakan dengan enjin 1.8 liter empat silinder melintang dijangka akan dijual dibawah harga RM100,000. Model berkenaan akan dipasang di kilang Proton di Tg Malim untuk pengeluaran pasaran domestik serta Asia Tenggara.

Boyue dengan lencana Proton akan mula dijual di Malaysia pada penghujung 2018 atau selewat-lewatnya awal suku pertama 2019.

Sumber: MalaysianDigest

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com