Adik Tembak Abang Kerana Syak Jalin Hubungan Dengan Isteri


ROMPIN – Seorang lelaki Orang Asli putus tangan kiri akibat terkena tembakan adiknya yang cemburu kerana mengesyaki abangnya menjalin hubungan dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku sekitar 10 pagi Isnin lalu apabila mangsa yang berusia 23 tahun sedang mencari rotan di Kampung Berengoi, Bukit Ibam.

"Suspek yang berusia 19 tahun datang untuk bertanya mengenai hal itu, Bagaimanapun mangsa menafikan dakwaan itu hingga menyebabkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua mereka.

"Suspek kemudiannya melepaskan satu das tembakan ke arah abangnya yang terkena tangan kirinya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Azli menambah mangsa yang berlumuran darah lalu melarikan diri ke rumah ibu saudaranya yang terletak berhampiran tempat kejadian, yang kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Rompin.

Beliau menambah suspek ditahan sekitar jam 11 pagi pada Khamis selepas menyerah diri di Balai Polis Bukit Ibam.

"Polis merampas dua laras senapang buatan sendiri yang ditemui di pondok belakang rumah suspek dan mendapati suspek mencipta senjata itu sejak lima tahun lalu yang disembunyikan di pondok itu," katanya.

Azli menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com