5 Sukarelawan Jabatan Awam Dicekup Ketika Hendak Lepas Gian Di Sik


ALOR SETAR - Memalukan! Lima  sukarelawan sebuah jabatan awam termasuk empat yang lain dicekup ketika hendak melepaskan gian dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sarang penagihan dadah di Kampung Bendang Man, kelmarin.

Ketua Pegawai AADK SIK, Roslin Baharom berkata, kesemua mereka berjaya ditahan  hasil daripada tindakan nekad dan berani anggotanya menunggu di dalam rumah yang dijadikan sarang penagihan tersebut.

"Perangkap dipasang membuahkan hasil apabila tuan rumah termasuk lapan penagih yang datang ke rumah tersebut untuk melepaskan gian ditahan.

"Mereka berusia antara 18 hingga 48 tahun dan seorang daripadanya merupakan pembawa HIV positif. Kita dapati ada kesan suntikan di kedua-dua tangannya.

"Semua tahanan dibawa ke Pejabat AADK Sik untuk tindakan lanjut," katanya.

Hasil saringan air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah jenis opiat dan seorang positif dadah jenis metamphetamine.

"Sukarelawan yang ditugaskan menjaga keamanan dan kesejahteraan kampung tidak sepatutnya terlibat dengan penagihan dadah.

"Mereka sepatutnya membantu memastikan kawasan sekitar bebas daripada masalah yang mengganggu-gugat masyarakat," katanya.

Operasi yang bermula pada jam 11 malam hingga 11 pagi itu melibatkan lapan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK) Sik itu diketuai Khairul Anuar Mansor. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com